Putera Naruhito Kagum Dengan Anak Muda Malaysia Mahir Berbahasa Jepun

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama)– Sekumpulan anak muda Malaysia yang fasih berbahasa Jepun merebut peluang sekali seumur hidup untuk berinteraksi dengan Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito di luar acara Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-14 Sekolah Menengah 2017 hari ini.

Diadakan di Kelab Jepun Kuala Lumpur di sini, Putera Naruhito menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan bertemu pemenang pertandingan itu yang bertujuan menggalakkan pelajar bahasa Jepun meningkatkan pengetahuan bahasa dan menyediakan peluang untuk menunjukkan kemahiran bahasa mereka.

Pemenang tempat pertama Muhammad Danial Amir Roslan, 16, dari Sekolah Sultan Alam Shah, Selangor berkata ini merupakan peluang yang baik untuknya berkongsi minat dalam mempelajari bahasa Jepun dengan putera mahkota itu.

Saya memberitahu Putera Naruhito bahawa minat saya mempelajari bahasa Jepun bermula daripada minat saya membaca dan menonton Anime. Disebabkan Anime, saya telah mempelajari bahasa itu di sekolah sejak Tingkatan Satu, katanya kepada pemberita.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Kedutaan Jepun, Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia, Kelab Jepun Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pemenang tempat kedua pula, Aliana Zulaika Yeong, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang berkata beliau gementar tetapi teruja untuk berkongsi dengan Putera Naruhito tentang minatnya dalam mempelajari bahasa Jepun.

Putera Naruhito memuji semangat saya mempelajari bahasa Jepun dan baginda gembira bahawa saya memilih untuk mempelajari bahasa Jepun berbanding bahasa lain.

Baginda juga memberitahu saya bahawa dengan mempelajari bahasa Jepun, ia akan memudahkan saya sekiranya saya merancang untuk meneruskan pengajian di Jepun selepas tamat sekolah nanti, katanya.

Seramai 10 pelajar mengambil bahagian dalam pusingan akhir pertandingan itu hari ini.

Awal hari ini, putera mahkota telah melawat Muzium Negara.

Baginda dijadualkan berangkat pulang esok di akhir lawatan lima hari ke negara Asia Tenggara.

Lawatan Putera Naruhito merupakan kemuncak sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Jepun. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.