Transaksi Tol Lebuh Raya PLUS 100 Peratus Secara Elektronik Bermula 26 April

KUALA TERENGGANU – Semua transaksi tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan dikendalikan 100 peratus secara elektronik bermula 26 April ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata sehubungan itu pengguna lebuh raya itu perlu menyediakan kad elektronik masing-masing sama ada kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG.

Menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut, tiada lagi bayaran tol secara tunai, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Pelaksanaan fasa terakhir (transaksi elektronik) ini akan melibatkan 71 buah lagi plaza tol antara Juru hingga Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan (termasuk lebuh raya ELITE).

“Dengan pelaksanaan ini kelak, semua plaza tol kendalian PLUS termasuk transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua akan dikendalikan 100 peratus elektronik,” katanya.

Mohammad Fuad berkata pelaksanaan itu secara tidak langsung membantu orang ramai membayar tol dengan lebih mudah, pantas dan selesa.

Menurutnya, kini kira-kira 92 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna lebuh raya PLUS menggunakan sistem elektronik.

“Lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 hingga 600 transaksi dalam satu jam berbanding dengan lorong tunai ikeluar iaitu kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.

“Justeru itu kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.