Jenazah Mohamad Thaqif Amin Selamat Dikebumikan

KOTA TINGGI: Jenazah pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Aping Timur, pukul 12.37 tengah malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di rumah datuknya, Ahmad Motai dekat sini kira-kira pukul 11.40 malam.

Turut mengiringi jenazah pelajar itu adalah bapanya Mohd Gaddafi Mat Karim.

Jenazah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin,11, disembahyangkan di rumah datuknya, kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Asiah Md Ariff turut menziarahi keluarga Allahyarham di rumah Ahmad.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluangkan masa menziarahi dan mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Jenazah Mohamad Thaqif Amin, dibawa keluar dari Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru kira-kira 10.50 malam selepas selesai bedah siasat.

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia pada pukul 2.05 petang Rabu di HSI.

Pelajar itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi semalam, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kisah Mohamad Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.