Kematian Pelajar Tahfiz: Tindakan Bergantung Kepada Keputusan Bedah Siasat

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital, sebelum mengambil apa-apa tindakan berhubung kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata segala bentuk tindakan yang akan diambil bergantung kepada keputusan bedah siasat.

“Kalau kita bertindak dahulu, alih-alih laporan bedah siasat tidak menyokong tindakan kita itu, tidak boleh juga…kena tepat dua-dua,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Program e-Learning Johor anjuran Yayasan Pelajaran Johor di Dewan Maktab Sultan Abu Bakar, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri setakat ini berhubung kes Mohamad Thaqif Amin yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.Semasa dirawat, Mohamad Thaqif Amin dipotong kedua-dua kaki akibat dijangkiti kuman selepas didakwa dipukul pembantu warden asrama sebuah madrasah tahfiz.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur  tengah malam tadi.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang untuk memantau madrasah-madrasah tahfiz swasta berikutan kes itu, Mohamed Khaled berkata: “Saya percaya apa yang berlaku boleh menjadi iktibar, tidak perlulah untuk kerajaan negeri memberi arahan, sama macam Jabatan Pendidikan dari segi mengambil  tindakan disiplin dan sebagainya.

“Biar dia (jabatan berkaitan) maklumkan kepada pihak sekolah, tidaklah sampai hendak menghantar orang (untuk memantau),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa kerajaan negeri ada mewujudkan Bantuan Rakyat 1 Johor (BR1J) yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

“Tidak betul… kalau ada apa-apa, saya akan beritahu media perdana. Itu yang sahih,” katanya.

Berkenaan program itu, Mohamed Khaled berkata ia adalah sebuah konsep pendidikan masa depan yang mula menjadi fenomena dunia.

Menurutnya, ia mendapat perhatian kerana menawarkan ruang pendidikan yang lebih bersifat peribadi, berdasarkan ilmu yang disusun mengikut ruang keselesaan dan tahap kesediaan seseorang individu.

“Sebagai sebuah negeri yang menjadikan pemikiran berkemajuan sebagai asas,segala tindakan,  maka adalah penting untuk kita mula membuat persiapan ke arah gelombang baharu pendidikan ini dan saya percaya program ini adalah langkah permulaan yang sangat baik dan positif,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.