Ibu Bapa Tak Berhasrat Pindah Anak Ke Sekolah Lain

KOTA TINGGI: Sesetengah ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di sekolah agama tempat Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi didera tidak berhasrat untuk memindahkan anak mereka ke sekolah lain.

Seorang ibu berusia 39 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zura berkata, adalah tidak adil untuk sekolah berkenaan dihukum hanya disebabkan kesilapan seorang individu.

“Sekolah itu sendiri dan guru-gurunya sangat baik dan mereka telah membantu membimbing anak saya menjadi seorang yang patuh agama.

“Saya mendaftar anak saya di sekolah itu pada Disember lalu dan dia telah berubah daripada seorang yang begitu asyik dengan telefon bimbit dan televisyen kepada seorang yang mendengar nasihat ibu bapa,” katanya, Khamis.

Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fadzli, 41, berkata anak lelakinya yang berusia 16 tahun tidak pernah mengadu tentang sekolahnya selepas dia didaftarkan tahun lalu.

“Saya terkejut apabila akhbar melaporkan tentang kes itu kerana anak saya tak pernah mengadu tentang sekolah dan sentiasa memuji guru-gurunya,” katanya.

Wartawan The Star yang telah dijemput untuk melawat ke sekolah ini di Kampung Lukut di sini, Khamis, telah melihat sekumpulan kanak-kanak sedang membaca al-Quran di surau sementara menunggu solat Asar.

Kemudahan yang terdapat di sekolah itu adalah asrama, tiga gelanggang badminton, gelanggang futsal dan gimnasium.

Di Johor Baru, Pengerusi Jawatankuasa Islam negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata beberapa perubahan akan dibuat dalam pengurusan sekolah-sekolah agama di Johor, termasuk yang dikendalikan secara persendirian. – THE STAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.