Laporan Kesihatan Pelajar, Kakitangan Madrasah Diketahui Ahad

JOHOR BARU: Laporan penuh pemeriksaan kesihatan terhadap murid dan kakitangan madrasah di mana murid berusia 11 tahun dipercayai didera akan diketahui pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata tiada pelajar yang menjalani pemeriksaan itu mengalami sebarang penyakit serius.

“Kecuali sebahagian daripada mereka mempunyai masalah kulit tidak serius dan ruam yang biasa dialami murid yang tinggal di asrama,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ayub berkata pegawai kesihatan telah menjalani pemeriksaan di sekolah agama itu yang terletak di Kampung Lukut, Kota Tinggi pada Rabu.

Beliau berkata seramai 107 pelajar dan 14 kakitangan sekolah itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang dipotong kedua-dua kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dipercayai didera oleh pembantu warden madrasah itu meninggal dunia pada kira-kira 2.05 petang Rabu di Hospital Sultan Ismail.

Jenazah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur pada kira-kira 12.30 malam hari sama. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.