Pertandingan Foto, Video Pendek #SayangMalaysia Bertemakan #MyCulture

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan terus merancakkan kempen media sosial #SayangMalaysia dengan menganjurkan pertandingan foto dan video pendek bertemakan #MyCulture mulai 1 Mei hingga 30 Jun ini.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata dengan menggunakan kedua-dua hashtag #MyCulture dan #SayangMalaysia pada gambar yang dimuat naik ke akaun Instagram atau Facebook, orang ramai berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik tajaan Laguna Redang Resort, Menara KL, Sunway Lagoon dan KidZania.

Foto dan video pendek berdurasi 30 hingga 60 saat yang dimuat naik perlulah berkaitan dengan keunikan dan keindahan budaya tempatan di Malaysia, katanya.

Kementerian itu berkata pertandingan ini bertujuan menggalakkan pelancong domestik dan luar negara menggunakan media sosial berkongsi detik indah dan keunikan ketika berada di Malaysia.

Katanya ia boleh menjadi rujukan kepada pelancong yang ingin melawat Malaysia sekali gus memperkenalkan tarikan unik negara ini ke serata dunia.

#MyCulture adalah tema ketiga kempen itu selepas #MyCuisine dan #MyDestination yang diadakan sebelum ini, katanya.

Menurutnya, pemenang pertandingan foto dan video pendek dengan tema #MyDestination yang berakhir 30 April lepas akan diumumkan melalui laman Facebook dan Instagram kementerian pada minggu kedua bulan ini.

Tema lain yang akan diperkenalkan selepas ini ialah #MySport (Julai hingga Ogos), #MyEvent (September hingga Oktober) dan #MyFamilyFun (November hingga Disember).

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan itu boleh didapati di laman Facebook rasmi kementerian (www.facebook.com/mymotac) dan Instagram (www.instagram.com/mymotac & www.instagram.com/sayangmalaysia.motac) atau melayari laman web rasmi kempen media sosial #SayangMalaysia (www.motac.gov.my/sayangmalaysia).

Kempen media sosial #SayangMalaysia ini merupakan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara jabatan dan agensi kerajaan dengan pihak swasta. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.