FGV Masih Berbincang Dengan FELDA, Termasuk Perjanjian Pajakan Tanah

NILAI – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) masih mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengenai pilihan untuk melaksana, yang termasuk perjanjian pajakan tanah (LLA) yang akan memanfaatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad berkata, keutamaan pilihan adalah untuk kepentingan terbaik FGV, FELDA dan pemegang saham lain dan menawarkan penyelesaian menang-menang untuk semua.

FELDA dilaporkan terbuka kepada idea untuk menyelesaikan LLA dan mendapat balik tanah yang kini dipajak dan diuruskan FGV dalam usaha untuk memperoleh pulangan lebih tinggi.

Kepentingan FELDA dalam FGV adalah kira-kira 34 peratus dan FGV menguruskan kira-kira 335,000 hektar daripada 850,000 hektar tanah FELDA.

“Perbincangan telah bermula beberapa bulan lalu dan masih berjalan dan kami belum dapat penyelesaian terbaik bagaimana meningkatkan harga saham FGV bagi faedah pemegang sahamnya serta bagi kepentingan peneroka FELDA.

“Kami telah mengemukakan banyak idea dan antaranya adalah LLA. Bagaimanapun, belum ada apa yang dibawa ke peringkat lembaga kerana semuanya masih di peringkat perbincangan,” katanya pada sidang akhbar semasa lawatan dua hari media ke kemudahan penyelidikan dan pembangunannya di Enstek, Negeri Sembilan dan Tekam, Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, LLA itu adalah komponen perniagaan penting untuk FGV dan bukan mudah untuk dibuat keputusan.

Jika FELDA memutuskan untuk keluar daripadanya, ia perlu memberi notis 11 bulan kepada FGV dan perlu membayar minimum RM3 bilion pampasan bagi penamatan LLA, kata Zakaria.

Beliau berkata, disebabkan masalah sebenar yang mencetuskan pilihan LLA adalah berkaitan aliran tunai FELDA, kedua-dua pihak perlu berbincang lagi bagi menangani perkara itu.

Menurutnya, jika terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk pampasan, akan memburukkan lagi aliran tunai FELDA.

Kedua-dua pihak bukannya bersaing, tetapi melengkapi antara satu sama lain, oleh itu mereka perlu mampu membincangkan penyelesaian terbaik untuk semua, tambahnya.

“Saya berpendapat kita perlu memanfaatkan kekuatan satu sama lain bukannya bertindak sendirian. Saya percaya FELDA juga mempunyai matlamat yang sama, tetapi sebarang keputusan yang dibuat, FGV akan merangka strategi yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, mengenai kemungkinan muncul pemegang saham baharu dalam FGV berikutan rombakan besar oleh FELDA, Zakaria berkata, beliau tidak tahu butiran perbincangan berkenaan.

Pemegang saham baharu dikatakan ahli perniagaan Indonesia, Tan Sri Peter Sondakh, yang menguasai PT Eagle High Plantations Tbk dan Martua Sitorus, pengasas bersama Wilmar International Ltd, melalui suntikan aset ke dalam kumpulan tersebut sebagai balasan untuk saham dan penguasaan pengurusan.

Bagaimanapun, FGV akan mengalu-alukan sebarang pengambilalihan ekuiti jika mereka boleh membawa masuk kepakaran bagi manfaat kumpulan tersebut, tambah Zakaria. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.