Media Dinasihat Agar Sekat, Bukan Pasarkan, Ideologi Keganasan

BEIRUT – Media massa, termasuk agensi berita nasional. perlu melaksanakan peranan penting dalam menyekat penyebaran ideologi keganasan dan bukannya membantu memasarkannya tanpa disedari, demikian mesyuarat ke-42 OANA di sini diberitahu hari ini.

Negara anggota Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik itu, dalam laporan mereka pada mesyuarat berkenaan, bersetuju bahawa pengganas memperoleh publisiti percuma yang tidak sepatutnya dengan memanipulasi media untuk meneruskan matlamat mereka dalam menyemai ketakutan dan mewujudkan rasa curiga serta huru-hara dalam kalangan masyarakat umum.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Pertubuhan Berita Nasional Malaysia tidak pernah membiarkan berita berkaitan keganasan dan kesannya disiarkan melangkaui fakta kes yang diberi pihak berkuasa.

“Kami tidak pernah menyiarkan apa-apa berita yang dianggap sebagai memberi manfaat kepada keganasan, atau memberi bayangan tanpa disengajakan walau sedikit pun ke arah mengagung-agungkan keganasan , ia sama sekali tidak dibenarkan,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Peranan Media Untuk Tidak Memasarkan Keganasan’.

Zakaria berkata Bernama, yang akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya pada hujung bulan ini, berpegang teguh kepada pendirian itu sejak dahulu lagi, sebelum pun berita berkaitan keganasan mendapat tempat di muka hadapan di seluruh dunia.

Zakaria berkata memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan berbilang agama, Bernama dan media arus perdana mengakui peri pentingnya untuk menggalakkan toleransi serta harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia bertuah kerana kami dilahirkan pada 1957 sebagai sebuah negara majmuk dan sifat toleransi dalam kalangan semua kaum dipatuhi dan dihargai sejak dari mula lagi,” kata beliau ketika menegaskan tentang langkah pencegahan awal dalam memerangi keganasan dan ekstremisme.

Beliau berkata Bernama telah melaksanakan peranan dalam mempromosi toleransi dan harmoni sejak awal penubuhannya pada 1967, selain daripada menggalakkan kewartawanan pembangunan untuk memastikan rakyat memahami bahawa setiap perkara yang diusahakan kerajaan adalah bagi manfaat semua.

Ini, katanya, meningkatkan kepercayaan dan kepuasan dalam kalangan rakyat daripada pelbagai kaum, dan dengan sokongan dan dukungan padu daripada rakyat yang berdiri teguh sebagai 1Malaysia, sebarang usaha oleh mana-mana kumpulan pelampau untuk bertapak akan menemui kegagalan.

Disebabkan fakta ini, tiada kumpulan pengganas atau ekstremis akan bertahan lama di Malaysia, dan kes terpencil yang berlaku berjaya ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa, katanya dan menambah, setakat ini hanya satu insiden pengeboman berlaku di Kuala Lumpur yang didakwa oleh Daesh sebagai dilakukan oleh pesimpati mereka. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.