Jelajah Masjid: Non Muslim Diajar Ambil Wuduk, Solat

DAMANSARA – Lebih daripada 50 orang masyarakat bukan Islam hari ini menyertai program Hi-Tea ‘Clear the Mist: Women in Islam’ yang berlangsung di masjid al-Ghufran di sini.

Menurut penganjur bersama program itu,Pengerusi Hidayah Center Foundation (Petaling Jaya) Rahibah Che Omar berkata, program itu diadakan bertujuan untuk membuka peluang masyarakat pelbagai kaum di Malaysia untuk lebih memahami Islam menerusi ruang-ruang perbincangan yang diadakan oleh mereka.

Antara peserta Bukan Islam yang diajar mengambil wuduk dan pergerakan dalam solat. 

“Apa yang menarik menerusi satu slot dalam program ini iaitu, program jelajah masjid, di mana para peserta bukan Islam akan didedahkan dengan proses-proses yang perlu dilalui oleh seorang Muslim sebelum menunaikan solat, serta pergerakan dalam solat.

“Selain mereka turut diterangkan mengenai Rukun Islam dan Iman untuk memberikan gambaran asas kepercayaan dalam Islam, serta dibawa meninjau keindahan masjid serta melihat kemudahan yang disediakan di masjid ini,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama antara Hidayah Center Foundation dan Pertubuhan Ikram Malaysia dengan kerjasama masjid al-Ghufran dan kumpulan sukarelawan masjid.

Mengulas lanjut, Rahibah berkata bagi mengelak persepsi negatif seolah-olah hanya orang Islam yang mahu menyeru orang bukan Islam memahami Islam, Rahibah berkata, “isu itu tidak timbul”.

“Kami juga telah pergi melawat gereja, kuil dan sebagainya bagi mempelajari dan memahami agama mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.