Kawalan Virus H5N1 Melibatkan Radius 30km Dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong

KUALA LUMPUR – Penyakit selesema burung di Kelantan sedang dikawal dalam lingkungan radius 30 kilometer dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong melibatkan enam jajahan di negeri itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan berkata keadaan adalah terkawal dan terhad kepada kawasan yang dijangkiti melibatkan ayam kampung dari penternak kecil-kecilan sahaja.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan, 36 lokasi disahkan positif wabak itu melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu di 15 lokasi, Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Bachok (enam), Pasir Puteh (tiga), dan Tanah Merah (satu).

“Sehingga semalam, tiada kes dan lokasi baharu H5N1 dikesan dan operasi pelupusan sebanyak 56,953 ternakan unggas dan 17,531 biji telur di 36 lokasi yang disahkan positif telah selesai dijalankan,” kata kenyataan itu.

JPV berkata menerusi operasi Sekatan Jalan Raya (SJR), sejumlah 15,482 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 272 unggas telah dirampas melibatkan 55 kes rampasan.

“Sehingga kini, tiada jangkitan di kesan dalam kalangan manusia dan orang ramai diminta melaporkan kepada pejabat veterinar yang terdekat jika terdapat kejadian kematian ayam,” katanya.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri pada 15 Mac lepas selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.