Dr. Mahathir Serang Najib Tidak Akan Menangkan Pakatan Harapan Untuk Raih Undi Warga FELDA

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan dapat memecahkan pengaruh UMNO dalam kalangan warga FELDA jika PH hanya bergantung kepada mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang sering menghentam Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam setiap ceramahnya.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Ketua Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata, peneroka-peneroka hanya mahukan jaminan dari PH tentang perkara yang dapat parti itu lakukan untuk menjadikan kehidupan mereka lebih baik.

“Pada masa ini, PH tidak benar-benar agresif berkempen di kawasan-kawasan FELDA. Mereka terlalu bergantung kepada aura Mahathir untuk menerangkan isu-isu dan menyerang pentadbiran organisasi itu (FELDA),” kata Hisomuddin.

Beliau menegaskan walaupun jumlah kehadiran pendengar ke ceramah Dr Mahathir adalah ramai sebenarnya tidak menunjukkan warga peneroka akan berpaling tadah dari UMNO, parti yang disokong sejak dahulu lagi.

Pengundi FELDA telah menyumbang kira-kira 15% dari jumlah undian dalam pilihan raya lepas di mana majoritinya dimenangi oleh Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO.

Hisomuddin berkata, sokongan untuk BN di kalangan peneroka FELDA adalah 63% di Pahang dan hampir 90% di Johor.

“Hanya di Kelantan, sokongan adalah lebih rendah pada 59% di peringkat parlimen dan 58% di peringkat negeri.”

“Generasi pertama, kedua dan juga ketiga peneroka FELDA adalah hampir pasti setia terhadap UMNO. Melainkan jika mereka telah meninggalkan kawasan penempatan,” katanya.

Pendapat Hisomuddin turut dipersetujui oleh Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Dr Redzuan Othman, berkata, peneroka FELDA setia terhadap UMNO.

Tambah Redzuan, jumlah kehadiran pendengar adalah ramai ke ceramah Dr Mahathir bukanlah kerana tanda sokongan tetapi hanya sifat ingin tahu.

“Dia adalah mantan Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun. Mereka hanya nak mendengar sahaja ayat-ayat dia,” katanya. – THE MALAYSIAN INSIGHT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.