Jelmaan Lembaga Menyerupai ‘Beruk’ Ganggu Penduduk

BACHOK – Cerita kewujudan penanggal pada zaman moden, masih belum terhenti. Malah sejak hebohnya cerita makhluk halus itu yang dilihat penduduk berkeliaran di sekitar Kampung Sungai Dua dan kubur di Jelawat ia telah jadi perhatian netizen.

Di sebalik kisah penanggal itu sebenarnya tersembunyi pengalaman ngeri penduduk yang pernah diganggu makhluk berbulu menyerupai ‘beruk’ setinggi enam kaki berkeliaran di kampung tersebut.

Kisah makhluk berbulu tersebut terbongkar setelah pengamal perubatan Pusat Perubatan Islam Al-Qalam dari Selangor merawat kampung berkenaan kelmarin selepas laporan Sinar Harian pada Rabu lalu berkongsi kebimbangan penduduk diganggu penanggal dan bebola api.

Kejadian diganggu makhluk menyerupai beruk itu diceritakan Zubaidah Abdullah, 50, ketika dia tinggal di kediaman arwah ibunya, Siti Zaharah Daud, 76 di Kampung Sungai Dua.

Zubaidah berkata, tidurnya sering terganggu apabila kerap didatangi dua lembaga berbulu yang dikatakan datang dari pokok besar di belakang kediaman ibunya.

“Saya terkejut bila benda tu boleh bercakap dengan saya dan mahu tidur sebelah saya. Saya halau makhluk itu dengan baca al-Quran, kemudian ia hilang,” katanya yang memang sejak dari kecil terbiasa dengan perkara mistik sebegitu.

Kejadian pelik itu katanya turut dialami adik-beradik lain, namun tidak diendahkan mereka.

Bukan itu sahaja katanya, tamparan lagi hebat buatnya apabila dia keguguran ketika mengandungkan anak pertama sehingga ketiga menyebabkan dia terpaksa menggunakan pengamal perubatan tradisional untuk ‘jaga’ kandungan sehingga berusia lima bulan.

“Kandungan keempat saya pun tidak bertahan lama, gugur lagi. Saya tak sangka keguguran itu ada kaitan dengan makhluk berbulu yang datang ganggu saya sebelum ini,” katanya.

Sangat menyeramkan juga apabila makhluk tersebut memanggil-manggil nama penduduk ketika waktu senja dan sekitar jam 8 pagi sehingga 9 malam.

Mengikut cerita penduduk lama di sini, kejadian berkenaan menyebabkan orang yang menyahut panggilan makhluk tersebut akan demam berminggu-minggu

“Ekoran gangguan itu, penduduk jadi trauma dan tak mahu keluar di waktu senja dan malam,” katanya.

Turut mengalami gangguan terbabit, ialah Azmi Bakar, 48, katanya, bumbung rumahnya pernah bergegar pada waktu maghrib seperti dipijak sesuatu yang sebelum ini disangka kucing.

Dikunjungi Pengamal Perubatan Islam Pusat Al-Qalam

Ekoran kejadian diganggu penanggal dan makhluk berbulu kecoh sejak beberapa bulan lalu di kampung terbabit, Pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu turun padang untuk mengenal pasti gangguan yang berlaku di Kampung Sungai Dua itu.

Dalam sesi rawatan yang turut disertai wartawan Sinar Harian itu, Baharuddin berkata, kediaman arwah ibu Zubaidah yang ditinggalkan lama dan tidak berpenghuni sebenarnya mendorong makhluk berbulu itu menetap di kediaman itu.

“Saya turun ke sini untuk lihat sendiri keadaan kampung yang dikatakan diserang penanggal dan melakukan pemerhatian berhubung gangguan yang dihadapi keluarga Zubaidah dan kejiranannya.

“Menurut Zubaidah, rumah terbabit hanya digunakan semasa adik-beradiknya pulang pada masa cuti. Mungkin sebelum ini Zubaidah tak tahu jelmaan makhluk berbulu itu bukanlah penanggal, tetapi ia saka warisan tidak bertuan,” katanya.

Baharuddin berkata, setelah dibuat tinjauan didapati keluarga berkenaan sebenarnya bukan diganggu penanggal tetapi ia saka belaan tanpa sedar yang sebelum ini berada dalam keluarga berkenaan.

“Kunci untuk membersihkan diri dan mengelakkan gangguan makhluk halus ini adalah dengan melakukan solat lima waktu dengan sebaik-baiknya di samping solat sunat termasuk solat taubat, tahajud, istikharah dan witir.

“Kita perlu kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya dengan amalan ayat-ayat Ruqyah dan usah percaya kepada pawang dan bomoh, kerana gangguan itu  hanya melemahkan rohani kita dan boleh memesongkan akidah seseorang,” katanya.

Benteng jauhi gangguan amalkan surah dalam al-Quran

Sementara itu, Exco Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (Gapima), Datuk Shamsuri Shafie berkata, benteng bagi menjauhi gangguan iblis dan syaitan yang menjelma dalam pelbagai bentuk adalah dengan amalan surah dalam al-Quran.

Ia termasuk surah Al-Fatihah, Ayat Qursi, Surah Al-Baqarah ayat 1-5, Surah Ibrahim ayat 24-25, surah Al-Jin ayat 1-9, surah Al-Hasyr ayat 20-24 dan surah Al-Mukminun ayat 114-118 dan amalan empat Qul iaitu Al-Ikhlas, An-Nas, Al-Falaq dan Al-Kafirun.

Menurut Shamsuri yang juga Pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, amalan surah itu juga perlulah dibacakan untuk diri sendiri dan ketika di rumah dan jalan terbaik adalah manusia perlulah dekatkan diri kepada penciptanya dengan mentaati perintah ALLAH SWT. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.