Budak lelaki mata biru jadi tumpuan

BEAUFORT: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun mencuri tumpuan ramai kerana memiliki sepasang mata berwarna biru.

Kamarul Hisham Mustafa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ketika ditemui di Kampung Bingkul di sini, berkata hanya dia dan kakak sulung serta ibunya sahaja yang memiliki keistimewaan itu.

“Dalam keluarga, saya dan kakak mempunyai sepasang mata berwarna biru manakala hanya sebelah mata ibu kami sahaja yang berwarna biru. “Ayah dan abang pula tidak mempunyai mata seperti kami.

Pada mulanya, rasa janggal juga kerana warna mata tidak sama seperti rakan lain tetapi akhirnya saya dapat biasakan diri.

“Bagi kami, ini adalah anugerah daripada Allah,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar itu di sini, hari ini. Kamarul Hisham berkata, dia percaya keunikan yang dimilikinya diwarisi daripada ibunya, Rosdah Abdullah, 47, yang berdarah campuran Melayu Brunei dan Pakistan.

Ayahnya, Mustafa Kamal, 48, berasal dari Negeri Sembilan. Sementara itu, Kamarul Hisham adalah antara penduduk kampung yang turut meraikan kunjungan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Haji Akhbar Khan di Kampung Bingkul, Beaufort, pagi tadi.

Sempena kunjungan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan kepada lebih 300 masjid membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Kuala Penyu dan Lumadan.

Berita Harian Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.