China Jadi Pengimport Produk Minyak Sawit Terbesar FGV

KUALA LUMPUR – China dijangka mengatasi Pakistan untuk menjadi pengimport produk minyak sawit terbesar Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, susulan perjanjian yang dimeterai antara syarikat dan Sinograin Oils Corporation dari China pada Ahad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata pada masa ini, China merupakan pasaran ketiga terbesar FGV bagi produk minyak sawit selepas India.

Tahun lepas, FGV mengeksport 308,040 tan produk minyak sawit ke China manakala India adalah destinasi kedua syarikat bagi produk minyak sawit.

“Kami menjangka jumlah akan meningkat sehingga kepada 600,000 tan setahun susulan pemeteraian perjanjian itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan anak syarikat 51 peratus milik FGV, MSM Malaysia Holdings Bhd.

FGV menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sinograin pada 14 Mei, 2017 untuk meneroka peluang membekal dan mengedarkan produk minyak sawit untuk menembusi pasaran pertengahan dan hiliran di China.

Zakaria berkata perjanjian dengan Sinograin dijangka mula menyumbang kepada perolehan syarikat dalam masa beberapa bulan akan datang.

Beliau berkata pada masa ini, FGV mengeluarkan 2.1 juta tan olein setahun dan 3.2 juta tan minyak sawit mentah, setahun.

Sinograin adalah anak syarikat China Grain Reserves Corporation, organisasi milik kerajaan khusus dalam operasi dan pengurusan rizab minyak dan bijirin negara China, dengan fungsi bersepadu untuk membeli, menyimpan, mengangkut, memproses dan mendagangkan.

Ia mengeluarkan minyak makan daripada kacang soya, minyak sawit dan lain-lain, selain mengedar dan menjual minyak makan jenama sendiri terus kepada pasaran domestik.

Ia turut mengimport 700,000 tan produk minyak sawit, setahun. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.