FGV, Sinograin Meterai MoU Untuk Perluas Pasaran Di China

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Sinograin Oils Corporation untuk meninjau peluang bagi usaha membekal serta mengedar produk-produk minyak sawit bagi menembusi pasaran (produk) pertengahan dan hiliran di China.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata pihaknya berharap dapat meneroka peluang untuk menyepadukan unit sedia adanya, FGV China Oils Ltd di Dongguan, Guangdong dengan operasi domestik Sinograin Oils dalam usaha mempertingkatkan nilai serta penjimatan kos kedua-dua pihak.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kerjasama itu akan menyaksikan FGV meninjau peluang hilirannya bagi pembekalan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran minyak campuran, lelemak dan lemak khusus.

Sinograin Oils merupakan unit China Grain Reserves Corporation, sebuah pertubuhan kebangsaan yang khusus dalam pengoperasian dan pengurusan simpanan bijirin dan minyak negara itu selain terlibat dalam pembelian, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan dan perdagangan.

Syarikat itu menghasilkan minyak makan daripada kacang soya, minyak sawit dan minyak lain-lain serta mengedar dan menjual produk minyak makan jenama sendiri ke pasaran domestik.

Sinograin Oils turut mengimport 700,000 tan produk minyak sawit, setahun.

Zakaria berkata, China merupakan pasaran minyak sawit mentah ketiga terbesar untuk FGV dengan eksport sebanyak 308,040 tan ke negara itu pada 2016.

Selain itu, sebagai pengguna minyak sawit ketiga terbesar di dunia, China menggunakan 5.05 juta tan minyak sawit pada 2016 berbanding 2.02 juta tan pada 2001, katanya.

Penggunaan minyak sawit oleh China juga diunjur terus meningkat, dipacu oleh peningkatan pendapatan isi rumah penduduknya serta perubahan tabiat yang membawa kepada permintaan terhadap minyak sawit lebih sihat.

“Kami mahu memperluaskan perniagaan di China dan percaya FGV serta Sinograin Oils boleh saling melengkapi satu sama lain,”katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.