Pekebun Kecil Sawit FELDA Akan Patuhi MSPO

JOHOR BAHRU: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan memastikan kira-kira 120,000 pekebun kecil sawit di bawah entiti itu mematuhi Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan kerajaan berkuat kuasa 31 Disember 2019. Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata FELDA bersedia beralih dan meninggalkan sistem Pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang diguna pakai kini kepada MSPO dalam usaha memastikan kemampanan pasaran minyak sawit di peringkat global.

Katanya, dengan sistem pensijilan baharu itu dilihat dapat memastikan kualiti minyak sawit dikeluarkan negara tidak diubah atau disekat dengan rintangan atau halangan diletakkan negara yang cuba memboikot minyak sawit, terutama Kesatuan Eropah (EU).

“Kita (FELDA) yakin boleh capai dan beralih kepada MSPO kerana dahulu (sebelum ini) FELDA sudah terbabit dan berjaya dengan sistem pensijilan RSPO, ia tidak menjadi masalah untuk beralih kepada pensijilan baharu.

“FELDA akan patuhi secepat mungkin dan akan berusaha memastikan semua 120,000 pekebun kecil sawit di bawah FELDA untuk menepati MSPO yang akan menjadi mandatori (wajib) pada penghujung tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Daerah Johor Bahru di Dewan Raya Stulang Baru di sini, hari ini.

Shahrir berkata, FELDA juga yakin kerjasama dan tindakan bersama kerajaan Malaysia dan Indonesia adalah langkah terbaik bagi memastikan pasaran minyak sawit di rantau ini dan dunia terjamin serta tidak terjejas.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kerajaan Persekutuan akan mewajibkan MSPO bermula 31 Disember 2019, selaras dengan permintaan pasaran global terhadap minyak sawit mampan.

Katanya, pelaburan juga perlu dibuat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) bagi menyokong pengembangan industri sawit; memberi tumpuan dan memperkukuhkan pembangunan modal insan; mensasarkan lebih ramai golongan profesional menceburi bidang sawit serta penyediaan dana untuk Skim Tanaman Semula dan Tanam Baharu Sawit untuk pekebun kecil. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.