‘Saya Tak Mahu Menyusahkan Orang Lain

ALOR GAJAH – “Biarlah keperitan dan kesusahan yang saya lalui, saya tanggung bersama enam orang anak, saya tak mahu menyusahkan sesiapa,” demikian kata ibu tunggal Mazwin Jasmi, 37, ketika ditemui  Sinar Harian di rumah sewanya, Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini.

Mazwin yang baru dua bulan menyewa di rumah papan berkenaan berkata, sebelum ini dia tinggal menyewa di Ayer Molek, Masjid Tanah namun disebabkan sering tertunggak bayaran kerana masalah kewangan, dia terpaksa keluar dari rumah sewa berkenaan sebelum mengambil keputusan menyewa di rumah itu.

Menurutnya, biarpun tahu rumah berkenaan banyak kekurangan termasuk tiada bilik dan ada papan yang berlubang, selain tiada tangga di bahagian depan, namun dia bersyukur sekurang-kurangnya masih ada tempat berteduh dari hujan dan panas untuk anak-anaknya berumur 14 hingga 8 bulan dengan kadar sewa RM 100 sebulan.

Katanya, dengan pendapatan RM30 sehari, sebagai pekerja di kedai menjual ayam, dia tidak mampu untuk menyewa di rumah yang agak mahal dan selesa memandang empat anaknya masih bersekolah termasuk yang sulung belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Redan.

“Adakalanya selepas habis bekerja di kedai ayam, di sebelah petang saya akan mengambil upah bekerja kebun di ladang kelapa sawit untuk menampung keluarga namun bergantung kepada kerja, kadang-kadang dapatlah RM25 sehari.

“Saya cuma harap dapatlah rumah yang lebih selesa untuk anak-anak dan bersyukur ramai yang datang ke rumah menyampaikan sumbangan selepas kisah saya disiar dalam FB,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.