Program Transformasi Negara Berjaya Pacu Ekonomi Negara Dan Bela Rakyat

SHAH ALAM – Langkah berani kerajaan menerusi Program Transformasi Negara (NTP) sejak lapan tahun lepas telah menunjukkan keberhasilan yang amat membanggakan apabila selain berjaya memacu ekonomi negara, usaha membela kepentingan rakyat turut terus dipertingkatkan , kata Datuk Seri Najib Tun Razak .

Membentangkan Laporan Tahunan (NTP) 2016, Perdana Menteri berkata segala langkah yang diambil sejak 2009 ketika beliau mula mengambil alih kepimpinan negara berjaya mencetus momentum demi momentum yang meletakkan negara terus teguh berada pada landasan ekonomi yang sihat dan betul.

“Segala fakta, angka mahupun peratusan kejayaan yang dilaporkan, bukannya retorik, rekaan atau pun bak kata orang, kerajaan hanya syok sendiri.

Namun, dengan tegas ingin saya nyatakan bahawa, kesemua fakta dan maklumat ini, telah diaudit dan diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali, bertauliah lagi berwibawa,” katanya pada pembentangan itu di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini malam ini.

Ucapan pembentangan selama sejam itu turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh semua stesen televisyen.

Perdana Menteri berkata sejak 2010, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan purata pada 5.1 peratus, satu lagi kejayaan kerana angka itu adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia.

Najib juga mengumumkan bahawa usaha kerajaan yang konsisten dalam membela rakyat telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014, sementara kemiskinan tegar telah hampir disifarkan kesemuanya.

Beliau berkata sehingga ini kerajaan juga telah berjaya mencapai 69 peratus atau 2.26 juta pekerjaan baharu daripada sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020, sekali gus membuktikan usaha kerajaan membuahkan hasil dan berada di landasan yang tepat.

Menurutnya pendirian kerajaan dalam melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga telah memberikan dividen yang besar kepada rakyat dan negara apabila kerajaan berupaya menampung kekurangan daripada hasil minyak melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak RM42 bilion pada tahun 2016.

“Bagaimanakah mungkin ada pihak di luar sana yang bercakap merepek dan mengarut dengan menipu rakyat kononnya kalau mereka menjadi kerajaan, GST hendak dihapuskan. Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan RM42 bilion itu?” soalnya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.