Harga getah dijangka seiring pasaran hadapan serantau

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau minggu depan, kata peniaga.

Ia termasuk Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM), Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE) dan niaga hadapan getah di Bursa Singapura (SGX).

Peniaga berkata, prestasi pasaran getah tempatan juga bergantung kepada pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah.

“Pada 25 Mei, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak selama sembilan bulan sehingga Mac 2018.

“Bagaimanapun, pasaran dipengaruhi pelabur yang mahu pengurangan itu dilakukan secara lebih ketara,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, dagangan kebanyakannya tinggi, menjejaki harga niaga hadapan ​​​​​​​getah lebih kukuh di pasaran serantau dan pergerakan ringgit yang meningkat berbanding dolar AS susulan kestabilan harga minyak mentah.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 turun 7.5 sen kepada 657 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 10.5 sen kepada 631.50 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 merosot 23.5 sen kepada 632 sen sekilogram, manakala susu getah pukal kurang 8.5 sen kepada 637 sen sekilogram. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.