TERKINI: 2,000 penduduk terperangkap di Marawi

MARAWI: Kira-kira 2,000 penduduk terperangkap selepas helikopter milik tentera melancarkan serangan roket ke arah kawasan diduduki militan Islam di selatan Filipina, semalam.

Menurut pihak berkuasa, serangan yang dilancarkan sejak seminggu lalu itu mengorbankan 19 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain 17 anggota pasukan keselamatan dan 61 militan.

Presiden Rodrigo Duterte menguatkuasa undang-undang tentera di selatan negara itu, sebaik sahaja pertempuran bermula, sekali gus memberi amaran kepada militan Daesh supaya tidak berada di kawasan berkenaan.

“Mereka menghantar mesej kepada kami bagi meminta bantuan,” kata jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Krisis Wilayah, Zia Alonto Adiong kepada AFP, merujuk kepada 2,000 penduduk yang terperangkap berkenaan.

Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berusaha membantu semua penduduk terbabit berkata, semua penduduk kini di ambang maut akibat keadaan semasa, selain ancaman peluru sesat. “Ketika rakan sekerja kami bercakap dengan mereka menerusi panggilan telefon, kami dimaklumkan mengenai keadaan yang kini semakin buruk.

“Bekalan makanan dan air semakin berkurangan. Malah, bekalan elektrik juga sudah tiada,” kata Timbalan Ketua Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Martin Thalmann yang kini berada di Marawi kepada AFP. AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.