Tolak Fahaman Ekstrem – Najib

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini perlu menolak segala kefahaman melampau yang membawa kepada kerosakan seperti memusuhi antara satu sama lain atau mengambil nyawa sendiri atas nama Islam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kejadian pengeboman bunuh diri di Manchester, England dan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan di Marawi, Mindanao yang membabitkan rakyat Malaysia baru-baru ini, Perdana Menteri menyorot antara tunggak Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa sendiri dan orang lain.

“Jangan kita lupa, salah satu daripada lima perkara Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa, bukan untuk kita membunuh diri kita atau membunuh orang lain.

“Nyawa itu bukan milik kita tetapi milik Allah SWT sahaja yang menentukan hendak mencabut nyawa kita atau memanjangkan nyawa kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama para ulama, umarak dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasminya Seri Perdana di sini malam ini.

Yang turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut menekankan betapa pentingnya umat Islam untuk bersatu padu dalam memartabatkan Islam dan menjamin masa depan ummah.

Katanya, penyatuan adalah asas untuk mencapai segala impian dan cita-cita murni yang mulia kerana agenda memartabatkan Islam tidak mampu dipikul oleh kerajaan sahaja.

“Sekiranya berdepan dengan musuh yang bersatu padu dan ada strategi licik tetapi kita sendiri pulau memulau antara satu sama lain, kita mengenepikan antara satu sama lain dan tidak mencari jalan penyatuan, nescaya kita akan tewas kepada musuh Islam.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah umat Islam dan kerajaan sahaja tidak boleh memenuhi agenda Islam melainkan NGO-NGO sebagai rakan kongsi kerajaan yang berjuang kerana Allah S.W.T, maka penyatuan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai cita-cita murni kita,” katanya.

Beliau turut menekankan betapa perlunya golongan ulama dan umarak untuk terus berjuang dengan kejujuran dan memimpin atas sifat adil dan amanah untuk terus memartabatkan Islam dan demi kepentingan ummah.

“Mengikut hadis Rasulullah SAW, dua golongan ini (ulama dan umarak) kalau baik, baiklah, kalau tidak baik maka rosak segalanya,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama 1,500 jemputan termasuk golongan asnaf dan anak yatim.

Selesai iftar, Najib dan tetamu menunaikan solat Isyak disusuli solat sunat Tarawih. Perdana menteri turut menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz al-Quran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) berjumlah RM803,205 kepada 319 huffaz Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 90 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin, Klang; Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor dan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim/Miskin Rukaiyah, Kajang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.