Khai Bahar Masih Tiada Harta

KEJAYAAN demi kejayaan yang ditempa penyanyi Khai Bahar membuatkan peminat tertanya-tanya dalam masa setahun penglibatan, apakah harta yang sudah dimilikinya?

Bertemu Khai atau nama sebenarnya Mohd Khairul Baharuddin, 23, dia belum ada sebarang harta termasuk kereta berikutan mempunyai niat yang belum lagi dapat dilaksanakan.

Katanya, dia hanya akan memikirkan tentang perkara berkenaan selepas apa yang dihajati itu terlaksana.

“Saya belum beli apa-apa lagi termasuk kereta kerana saya ada hajat yang belum tercapai, jadi sekarang saya banyak menyimpan wang untuk melaksanakan perkara itu.

“Maaf saya tidak mahu berkongsi tentang perkara peribadi itu. Tapi Insya-Allah, selepas itu saya memang berniat untuk beli kereta dan sebuah rumah,” ujarnya kepada mStar Online.

 

Khai Bahar

Populariti penyanyi lagu Bayang ini dilihat semakin meningkat selepas memenangi beberapa anugerah yang berlangsung baru-baru ini.

Khai memenangi Artis Baharu MeleTOP di Anugerah Meletop Era dan Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baharu Popular di Anugerah Bintang Popular 2017.

Dalam pada itu, bercerita tentang peminat, Khai berkata, dia mengambil keputusan tidak membalas mesej peribadi yang dihantar peminat-peminatnya di laman sosial.

Khai berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan rasa kurang senang peminat lain yang tidak menerima balasan daripadanya.

“Banyak yang mesej secara personal di Instagram tapi saya tidak buka dan balas satu pun kerana saya tidak mahu jika saya balas nanti ada peminat lain berkecil hati. Saya hanya balas mesej mereka di ruangan komen sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khai baharu sahaja melancarkan single keduanya berjudul Dari Jauh Saja. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.