Mahkamah Tinggi Temerloh Tolak Tuntutan Peneroka

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Temerloh telah menolak tuntutan sebilangan peneroka terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas mendakwa FELDA telah menetapkan kadar perahan minyak kelapa sawit (OER) lebih rendah berbanding dengan kadar tetapan minyak yang dibuat oleh Malaysian Palm Oil Board (MPOB).

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memberitahu kepada Bursa Malaysia semalam bahawa semua 364 peneroka Jengka B dan 350 peneroka Mempaga di Pahang telah menarik balik tuntutan mereka terhadap Felda.

“Lanjutan daripada pengumuman kami bertarikh 2 Mac 2017, kami ingin memaklumkan bahawa pada 26 Mei 2017, plaintif telah menarik balik semua tuntutan yang difailkan terhadap defendan. Mahkamah Tinggi Temerloh kemudian mengarahkan tuntutan keseluruhan peneroka itu dibatalkan dengan tiada kebebasan memfailkan semula.

“Dalam kes ini, peneroka menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teladan serta faedah untuk mendakwa FELDA dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd untuk penipuan, pecah amanah, konspirasi, kerosakan, salah nyata dan lain-lain bagi menentukan OER, di mana peneroka mendakwa OER yang diberikan kepada mereka adalah lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan oleh MPOB,” kata FGV.

Menurut FGV, mahkamah telah mengarahkan peneroka-peneroka dari Jengka B dan Mempaga untuk membayar kos berjumlah RM30,000 kepada FELDA dan FELDA Palm Industries. – THE EDGE MARKETS

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.