Penjawat Awam Jangan Mudah Puas Hati – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu anggota perkhidmatan awam berusaha ke tahap kemampuan maksimum atau melebihi had dan menolak sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian yang “lebih kurang atau ok” sahaja.

Mengakui beliau tidak boleh menjadi Perdana Menteri yang berkesan tanpa perkhidmatan awam yang berkesan, Najib berkata, beliau mahu penyelesaian secara kreatif dan inovatif diamalkan untuk mencapai sasaran lonjakan berganda untuk Malaysia.

“Jika kita boleh melaksanakan sesuatu perkara secara kolektif, output (hasil) mesti lebih besar, menyeluruh dan bermakna lagi.

“Kita perlu sentiasa berusaha mencari penyelesaian kreatif dan inovatif,” katanya pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa menjadi moderator majlis dialog itu yang dihadiri kira-kira 1,300 penjawat awam. Najib berkata, beliau mahu melihat lonjakan berganda perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam kepada rakyat Malaysia dengan meningkatkan aspek kreatif dan inovatif.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau turut membayangkan kewujudan sekolah satu aliran pada masa depan yang bertujuan mengukuhkan kesatuan nasional dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia (kesatuan nasional dan perpaduan) harus dimulakan dari peringkat sekolah dan pada masa sama, tidak berhasrat untuk menutup sekolah Cina atau Tamil.

“Saya membayangkan pada 2050, kita akan ada satu sekolah satu aliran di mana bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar; bahasa Inggeris diperkasakan dan bahasa ibunda lain dijadikan pilihan elektif yang kuat. Bagaimanapun, ini bukan cadangan tapi bayangan saya pada masa itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.