Kerajaan Lantik Idris Jala Bantu Krisis FGV

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Idris Jala sebagai pihak yang mampu mengambil langkah untuk menangani krisis yang melanda Felda Global Ventures (FGV) bersabit isu penggantungan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua lagi pengarah kanan pasukan pengurusan.

Dalam kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri hari ini, perlantikan itu dibuat selepas berunding dengan semua pihak yang terlibat iaitu Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad; Presiden Kumpulan dan CEO FGV, Datuk Zakaria Arshad dan CFO, Ahmad Tifli Mohd Talha.

Idris dilantik sebagai pihak tidak berkepentingan untuk mengemukakan bukti siasatan kes dan menyarankan penyelesaian berhubung keputusan FGV mengarahkan empat individu terbabit bercuti bermula dari semalam.

Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad sebelum itu berkata, Zakaria diarahkan bercuti kerana terdapatnya salah laku urus niaga dengan Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex.

Siasatan terhadap Zakaria didakwa melibatkan nilai jutaan ringgit susulan dari daripada hasil siasatan yang telah dilakukan oleh syarikat audit PricewaterhouseCoopers yang tidak boleh dinyatakan kepada umum.

Penggantungan kerja Zakaria adalah bagi membolehkan FGV menjalankan siasatan tanpa gangguan dan tidak mempunyai sebarang niat lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara, kata Isa.

Sementara itu, Zakaria pada hari semalam mengulas beliau bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga oleh anak syarikat FGV Delima Oil Produk Sdn Bhd.

Beliau telah menghadirkan diri ke ibu pejabat SPRM tengah hari, hari ini untuk membantu dalam siasatan kes salah laku dalam FGV.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.