Idris Jala Kumpul Maklumat Berkaitan FGV Di Menara FELDA

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata beliau dalam proses mengumpulkan maklumat sebelum mengambil tindakan lanjut ke arah menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Masih lagi mengumpul semua maklumat. Setakat ini kami tidak menubuhkan sebarang jawatankuasa,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita di lobi utama Menara Felda di sini hari ini.

Kerajaan semalam melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk mengumpul fakta kes dan membuat cadangan penyelesaian susulan keputusan FGV mengarahkan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad untuk bercuti.

Idris dilihat tiba di Menara Felda yang menempatkan ibu pejabat FGV pada 2.33 petang dan beredar pada kira-kira 3.40 petang.

Sekumpulan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki Menara Felda pada kira-kira 10 pagi dan masih berada di lokasi itu setakat 5 petang ini.

Selain Zakaria, turut diarahkan bercuti pada Selasa ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Abd Karim.

Semalam, Zakaria tampil di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan berkaitan FGV kepada badan itu yang kini meneliti isu berkenaan.

FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Zakaria dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FGV pada 1 April tahun lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.