PAS Gesa Campur Tangan Pengerusi FELDA Dalam Isu FGV

KUALA LUMPUR – PAS menggesa agar Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad campur tangan dalam kekalutan membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad dan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

Pengerusi, Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal PAS, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kemelut itu tidak sepatutnya berlaku dengan alasan serta sebab yang tidak kukuh.

“PAS meminta campur tangan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad agar menghentikan segera ‘Boardroom Tussle’ ini dan menggesa satu siasatan menyeluruh oleh SPRM terhadap dakwaan berlaku salah guna kuasa di dalam FGV dan mengheret si pelaku tersebut ke muka pengadilan.

“Kekalutan ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dengan alasan serta sebab yang tidak kukuh. Kekalutan bermotifkan agenda peribadi ini jelas hanya merugikan Felda terutamanya peneroka,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria bersama tiga lagi individu lain iaitu Ketua Pegawai Kewangan (CFO) FGV, Ahmad Tifli Talha; CEO Trading, Ahmad Salman Omar dan Kamarzaman Abdul Karim diarahkan bercuti serta merta.

Arahan itu dibuat bagi menjalankan siasatan berhubung wujudnya salah laku dan tidak mengikut prosedur antara syarikat Safitex dengan Delima Oil Products (DOP).

Zakaria bagaimana pun akur dengan arahan itu namun bertegas akan mempertahankan dirinya walau apa pun yang berlaku.

“Terpulang kepada keputusan FGV. Saya akan pertahankan diri walau apa juga yang berlaku,” katanya yang turut mengesyorkan pihak SPRM menjalankan siasatan terhadap FGV.

Difahamkan, tanggungjawab sebagai Presiden dan CEO FGV akan diambil alih oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah terdiri daripada dua ahli lembaga pengarah FGV, Datuk Dr. Omar Salim dan Datuk Mohd. Zafer Mohd. Hashim bersama Ketua Kluster Logistik, Azman Ahmad.

Manakala tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan pula akan diambil alih sementara oleh Pengawal Kewangan Sektor Perladangan, Aznur Kama Azmir.

Sementara itu, Isa dalam satu sidang media berkata arahan bercuti yang dikenakan terhadap beberapa individu merupakan prosedur yang ditetapkan dan bukan bersifat peribadi.

Malah katanya, keputusan itu dibuat selepas ahli lembaga pengarah FGV mendapati wujud salah laku dan tidak mengikut prosedur antara syarikat Safitex dengan Delima Oil Products (DOP).

“Itu adalah normal, surat dah diberikan. Itu adalah prosedur normal,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat FGV. – MYNEWSHUB.CC

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.