Najib Lancar Tiga Dokumen RPN

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan tiga dokumen utama di bawah Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) untuk mencorakkan pembangunan negara yang efisien dan mampan.

Tiga dokumen yang akan menjadi rujukan utama itu ialah Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara).

Menurut Perdana Menteri, RPN merupakan polisi peranca­ngan fizikal yang dapat menentukan hala tuju negara ke arah lebih dinamik, seimbang dan berdaya saing dalam menangani cabaran pembangunan masa hadapan.

“Penyediaan RPN ini yang selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) memastikan pembangunan berlaku dengan seimbang dan saksama di setiap ceruk rantau, tidak kira kampung, desa, mahupun bandar,” katanya ketika berucap melancarkan ketiga-tiga dokumen berkenaan di sini, Khamis.

Yang turut hadir Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Sadique, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohammad Mentek serta Ke­tua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Datuk Zainuddin Ahamad.

Menurut Najib, dokumen-dokumen yang dihasilkan oleh PLANMalaysia itu mengambil kira kadar urbanisasi di negara ini yang dijangka mencecah 77 peratus pada 2020 dan 85 peratus pada 2040 serta penduduk di kawasan desa yang dijangka menurun kepada 23 peratus pada 2020 dan 15 peratus menjelang 2040.

“Dokumen perancangan ini sememangnya berpaksi kepada manifestasi dan mengambil kira kemahuan serta aspirasi dan ke­perluan setiap lapisan masyarakat di negara ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dokumendokumen itu juga mengambil kira unjuran populasi penduduk berusia 60 tahun ke atas akan meningkat hampir 20 peratus pada 2040.

Katanya, ketiga-tiga dokumen yang dihasilkan itu amat pen­ting untuk pembangunan lestari bagi menghadapi globalisasi dan kepesatan pembangunan selain memastikan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) tidak ter­pinggir dalam penyediaan rumah mampu milik.

Dalam pada itu, menurut Noh dalam ucapannya, PLANMalaysia telah berbincang dengan pelbagai pihak untuk menyediakan tiga dokumen berkenaan termasuk dengan agensi-agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan orang awam.

“Dengan adanya ketiga-tiga dokumen perancangan spatial yang merangkumi kawasan bandar dan desa, maka dengan ini telah lengkaplah sistem dan pelan perancangan negara kita, khususnya di seluruh Semenanjung,” katanya yang memaklumkan PLANMalaysia merupakan penjenamaan semula Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD). – UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.