Johor Tubuh Jawatankuasa Khas Isu FELDA

KULAI: Kerajaan negeri Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menangani semua isu yang dihadapi FELDA di negeri ini khususnya soal pemilikan, perumahan dan infrastruktur, selain pembinaan rumah generasi kedua FELDA oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahril Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan dua EXCO kerajaan negeri yang berkaitan.

Katanya, Johor mempunyai 73 tanah rancangan FELDA yang meliputi 13 kawasan Parlimen dan 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 27,641 peneroka dan 146,000 pengundi, sekali gus menjadikan Johor negeri kedua mempunyai FELDA terbanyak.

“Apa juga yang dilakukan Kerajaan Pusat untuk memajukan FELDA, mengukuhkan dan menjadikannya konglomerat berprestasi unggul mendapat sokongan padu kerajaan negeri Johor,” katanya.

Beliau berucap pada Program Ihya Ramadan FELDA Peringkat Kebangsaan 2017 dan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di FELDA Sungai Sayong, dekat sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, mengenai pemberian hak milik tanah yang menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, pihaknya akan membantu mempercepatkan dan mempermudahkannya dengan sejak tahun 2014 , seramai 6,866 peneroka sudah menerima hak milik tanah.

Tahun ini, pihaknya berusaha menyerahkan hak milik tanah kepada seramai 1,491 lagi peneroka FELDA.

Beliau berkata, pihaknya komited menyelesaikan baki permohonan hak milik membabitkan seramai 3,533 peneroka yang kini masih di peringkat perakuan kepada kerajaan negeri, tindakan penyelesaian Bayaran Tahunan Disatukan (CAC) oleh pemohon dan juga tindakan semakan oleh pihak FELDA sendiri.

“Semua ini dilakukan kerana kita mahu peneroka FELDA mempunyai milikan yang sah ke atas aset dan tanah yang mereka usahakan dengan titik peluh mereka selama ini. Kerajaan negeri sedar, ia bukan sekadar sebidang tanah, ia adalah sejarah kehidupan dan maruah mereka para peneroka.

“Di atas tanah inilah, mereka (peneroka) datang dan membina kehidupan dan di atas tanah inilah mereka membina keluarga dan memeta masa hadapan. Jadi, kerajaan negeri akan pastikan mereka memilikinya secara sah dan termaktub,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, dengan penyerahan hak milik itu, kerajaan negeri memohon kerajaan Pusat mengiktiraf status jalan di perkambungan berkenaan untuk diselenggara di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.