Kemelut FGV: SPRM Siasat Beberapa Lagi Individu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mula memanggil beberapa saksi dan individu terbabit dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata pihaknya dalam proses mengkaji dokumen yang dirampas untuk mengumpul bukti berhubung siasatan, sebelum tindakan lanjut diambil.

“Semua pihak harus memberi masa dan ruang kepada pasukan penyiasat serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azam berkata, SPRM juga sudah memulakan siasatan terhadap beberapa individu susulan maklumat terbaru yang diperoleh.

“Pegawai SPRM sudah menggeledah ibu pejabat FGV semalam (kelmarin) dan merampas dokumen-dokumen yang berhubung kait dengan siasatan kes tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, SPRM mengambil tempoh selama lapan jam untuk menggeledah ibu pejabat FGV di Menara Felda dan merampas kira-kira empat kotak serta tiga beg dokumen penting pada Khamis.

BH melaporkan krisis FGV menjadi semakin meruncing apabila empat pengurusan kanan syarikat itu dan anak syarikatnya dipaksa bercuti berkuat-kuasa serta-merta.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.