The Fighters Sasar Berada Kelompok Empat Teratas

KUALA LUMPUR – Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat teratas Liga Super selepas melakukan rombakan secara besar-besaran pada pertengahan musim ini.

Skuad The Fighters tampak serius untuk memperbaiki kedudukan dalam liga selepas menggunakan sepenuhnya peluang jendela perpindahan apabila membawa masuk ramai muka baru.

Antara pemain tempatan yang menyertai Felda adalah Curran Singh Ferns, K. Prabakaran serta Safwan Hashim manakala Thiago Augusto Fernandes, Dino Djulbic dan Ifedayo Omosuyi mengisi kuota pemain import.

Jelas Sathianathan, sasaran utamanya adalah memperbaiki keampuhan benteng pertahanan serta mempertajamkan jentera serangan pasukan.

“Saya harap ia tidak akan menjadi seperti pusingan pertama (banyak bolos).

“Kehadiran Thiago dan pemain import baru lain juga diharapkan dapat memperbaiki jumlah jaringan sebelum ini.”

Sejak di bawah kendalian Sathianathan pada penghujung Februari lalu, Felda mencatat tiga kemenangan, empat seri serta satu kalah dan jurulatih berusia 59 tahun itu juga memasang impian untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

“Untuk Piala Malaysia, sudah tentu saya mahu melangkah ke final, itu sudah pasti,” ujarnya. – STADIUMASTRO.COM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.