RM1 Juta Menanti Pemenang Anugerah Keceriaan Kampung

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menawarkan RM1 Juta kepada pemenang Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Julai ini di Putrajaya.

Pengarah Publisiti Ekspresi FELDA, Datuk Akmar Hisyam Mokhles, berkata anugerah yang kini sudah masuk tahun kelapan dan terbuka kepada semua tanah rancangan FELDA dari seluruh negara itu turut menawarkan piala iringan dan sijil penghargaan yang mana 10 kampung dipilih sebagai finalis.

“Anugerah berkenaan adalah acara kemuncak Hari Peneroka FELDA yang akan dirasmikan Perdana Menteri pada 23 Julai ini.

Sambutan terbesar tahun ini

“Sambutan Hari Peneroka FELDA kali ini adalah yang pertama kali diadakan di Putrajaya itu dijangka mengumpulkan lebih 50,000 pengunjung termasuk penyertaan 25,170 peneroka FELDA dari seluruh negara dengan tema sambutan tahun ini Ekspresi FELDA Negaraku Malaysia 2017,” katanya dalam sidang media selepas taklimat sambutan Hari Peneroka FELDA itu, di sini, semalam.

Akmar Hisham berkata, sambutan pada kali ini dianggap yang terbesar kerana akan dilaksanakan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama pelbagai agensi dan kementerian.

Beliau berkata, sambutan itu akan diadakan di sepanjang Persiaran Presint 2 dan 3 bermula dari bangunan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) sehingga Istana Kehakiman.

Selain AKKF turut disampaikan beberapa anugerah sampingan yang lain seperti Anugerah Masjid Terbaik dan Tokoh Imam selain Pingat Khidmat Bakti.

Yang turut diadakan pameran jualan dan konsert yang menampilkan artis tempatan seperti Mawi dan Siti Nordiana serta persembahan watak animasi Upin dan Ipin. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.