Cuba Langgar Polis Elak Ditahan

KLANG: Seorang lelaki nekad melanggar kereta sepasukan anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Taman Selat Selatan, Pelabuhan Klang di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun itu gagal melarikan diri apabila ditahan pasukan polis yang mengekorinya sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata pihaknya mendapat maklumat pada jam 12.05 tengah malam mengenai kejadian tembakan dilepaskan di Lorong Selat Selatan 7.

“Siasatan awal mendapati, sepasukan anggota dari Balai Polis Klang dan Balai Polis Pandamaran mengekori sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 dari simpang empat Jalan Banting menghala ke kawasan Pandamaran kira-kira jam 9.50 malam tadi.

“Ketika tiba sampai di Lorong Selat Selatan 7, Taman Selat Selatan, Pelabuhan Klang, kereta itu berhenti sebelum pemandunya mengundurkan kenderaan itu.

“Pasukan serbuan turun dari kereta dinaiki dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada pemandu terbabit.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba kereta itu terus melanggar kereta dinaiki anggota, menyebabkan polis melepaskan sedas tembakan bagi mempertahankan diri.

“Suspek turut melanggar pagar sebuah rumah di laluan itu dalam usaha meloloskan diri tetapi berjaya ditahan pasukan serbuan,” katanya.

Alzafny berkata, suspek didapati mempunyai 12 rekod jenayah lampu membabitkan pelbagai kesalahan manakala kereta mewah dipandunya dilaporkan hilang di Klang.

Katanya, pemeriksaan terhadap kereta itu mendapati ada kesan tembakan pada tayar depan sebelah kiri.

“Pasukan serbuan dan suspek tidak mengalami kecederaan manakala pasukan forensik sudah mendapatkan sampel bukti untuk siasatan.

“Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek hari ini,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.