FGV Mulakan Usaha Tawar Peluang Pekerjaan, Tumpu Generasi Baharu

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah memulakan usaha pengambilan rakyat tempatan, khususnya generasi baharu peneroka untuk menyertai industri perladangan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz, yang juga anak peneroka Felda, berkata kumpulan itu sememangnya amat bergantung terhadap tenaga kerja asing iaitu seramai lebih 35,000 orang di seluruh negara dan memerlukan ramai lagi bagi kelancaran operasi hariannya.

“Bukan mudah untuk mengubah persepsi negatif generasi baharu terhadap kerjaya dalam sektor perladangan itu. Namun sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, FGV akan terus komited untuk menggalakkan serta mengutamakan warga tempatan.

“Sejarah membuktikan bahawa Felda dibangunkan oleh rakyat tempatan daripada hutan belantara kepada sebuah industri komoditi utama. Kami akan terus berusaha meningkatkan pembabitan rakyat tempatan dalam sektor perladangan dengan menambah baik pakej pembangunan kerjaya serta faedah terbaik,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kempen peluang pekerjaan itu telah dimulakan pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2017 di Putrajaya baru-baru ini dengan FGV turut membuka kaunter permohonan kerja untuk pengunjung.

Usaha itu akan diperluaskan ke pejabat ladangnya di Bera Selatan 1, Bera pada 8 Ogos dan Pejabat Pentadbiran Pusat Penyelidikan Tun Razak di Jengka (Pahang) pada 10 Ogos, diikuti di pejabat ladang Besout 7, Trolak (Perak) pada 15 Ogos dan pejabat ladang Chiku 8, Chiku (Kelantan) pada 17 Ogos.

Selain perladangan, FGV turut menawarkan generasi baharu Felda menyertai unit beruniform menerusi anak syarikat, Felda Security Services Sdn Bhd yang ketika ini mempunyai 3,000 anggota, kebanyakannya anak-anak peneroka.

Khairil Anuar menyifatkan usaha itu sebahagian daripada pelbagai aktiviti dan program tanggungjawab sosial korporat FGV setiap tahun yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat, khususnya peneroka Felda.

Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan kepada pejabat-pejabat FGV berdekatan atau menerusi e-mel career@feldaglobal.com. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.