Sokong Daesh : Peniaga Dalam Talian Dipenjara Lapan Tahun

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dalam talian dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan memberi sokongan kepada Daesh terhadap Tengku Shukri Che Engku Hashim, 31, dan penjara tiga tahun bagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas untuk melanjutkan perjuangan ideologi.

Ab Karim memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Sept 2016.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah dan penyesalan tertuduh namun, hukuman perlu menggambarkan ketegasan mahkamah supaya kesalahan itu memberi pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh, yang diwakili peguam, Mohd Hazrin Alif Wahab, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama dan tertuduh juga menjaga ibunya yang menghidapi penyakit strok. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.