Berikut merupakan kenya­taan penuh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein:

Semalam Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengumumkan enam inisiatif khas untuk membela nasib dan kebajikan veteran ATM serta ahli keluarga mereka.

Pengumuman ini merupakan usaha berterusan kerajaan dan Kementerian Pertahanan.

Selepas ini, banyak lagi ini­siatif akan diumumkan dari se­masa ke semasa.

Dalam masa terdekat, ki­ta akan umumkan inisiatif ber­kaitan perumahan, peruba­tan dan kesihatan, pendidikan serta latihan. Ketika ini, Kementerian Pertahanan sedang dalam proses penilaian akhir berhubung inisiatif-inisiatif ini.

Berbalik kepada enam inisia­tif yang diumumkan semalam, sebetulnya pihak kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor, dapatan, pandangan dan maklum balas sebelum melaksanakannya. Bukan mudah untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif ini.

Bagi inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) sahaja misalnya, kerajaan perlu mengeluarkan belanja lebih RM85 juta setahun.

Sejak saya memimpin Kementerian Pertahanan kira-kira empat tahun yang lalu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menambah baik aspek kebajikan veteran ATM dan ahli keluarga mereka.

Inisiatif ini termasuk 1Malaysia Veteran House Repair Programme, pembinaan rumah mampu milik, Skim Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam untuk anak-anak veteran ATM, pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera, Program Recognition Prior Experiential Learning-RPEL serta dan Skim Bantuan Bencana Alam.

Selain itu, saya juga telah memperkenalkan Bayaran Insentif Khas Insurgensi bagi veteran yang cede­ra ketika berkhidmat pada zaman darurat dan setarakan insentif bantuan sara hidup bagi para veteran yang tidak mempunyai sumber pencarian dan daif kepada RM300 sebulan serta menurunkan syarat kelayakan daripada 65 tahun kepada 60 tahun.

Ini bukan usaha yang mudah.

Terbaharu, saya telah meng­arahkan penubuhan Veteran Call Center yang menjadi saluran perhubungan khusus untuk para veteran dengan Jabatan Hal Eh­wal Veteran (JHEV).

Melalui pusat panggilan ini, ve­teran ATM disarankan berkongsi berita, aduan atau apa jua maklumat yang boleh membantu kerajaan menambah baik aspek kebajikan veteran ATM.

Semua inisiatif ini memberi manfaat secara langsung kepada setiap kelompok veteran tidak kiralah sama ada yang berpencen mahupun tidak berpencen, mahupun ahli keluarga mereka.

Saya akui, pengumuman Perdana Menteri semalam banyak menyentuh soal insentif kebaji­kan kepada golongan veteran ti­dak berpencen dan veteran ku­rang upaya.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, kita perlu memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Golongan tidak berpencen ini amat perlu dibantu. Mereka tidak memiliki pendapatan tetap dan tidak mempunyai pencen bulanan apatah lagi menikmati kenaikan pencen tahunan seperti yang diperoleh para veteran berpencen.

Atas semangat setiakawan dan kesatria yang tertinggi, kita sepatutnya menyokong penuh usaha kerajaan membantu rakan-rakan kita yang tidak berpencen, tambahan pula mereka adalah terdiri dari golongan yang perlu dibantu.

Seperti yang saya disebutkan tadi, usaha membela nasib dan kebajikan veteran tentera ini tidak akan terhenti setakat ini. Banyak lagi yang akan dilakukan selepas ini.

Pihak kerajaan amat menghargai sumbangan dan pengorbanan veteran ATM dan ahli keluarga mereka termasuk veteran berpencen yang terbukti setia sehingga tamat tempoh perkhidmatan. – UTUSAN ONLINE