Budak Melecur Main Petrol

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun melecur badan kira-kira 30 peratus selepas disambar api ketika bermain petrol yang dikatakan ditemui di kawasan permainan di Taman Jelutong dekat Kuala Nerang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Muhammad Naufal Zafran Mohd Zahiruddin, bersama seorang rakan sebaya dikatakan menemui botol berisi petrol dalam longkang berdekatan taman permainan berkenaan.

Tindakan rakannya yang kebetulan bermain pemetik api menyebabkan petrol terbabit terbakar dan menyambar Muhammad Naufal.

Kejadian menyebabkan mangsa melecur pada belakang badan, pinggang, tangan dan muka.

Rakan mangsa tidak mengalami kecederaan.

Bapa mangsa, Mohd Zahiruddin Zakaria, 42, yang kebetulan melalui kawasan itu ketika pulang dari kedai, terkejut melihat anaknya cuba menanggalkan seluar dalam keadaan badan melecur.

“Badan dia berbau minyak petrol dan melecur. Saya terus bawa dia ke rumah sebelum menghantarnya ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan.

“Muhammad Naufal kini dirawat di Unit Kebakaran dan saya dimaklumkan dia perlu menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan teruk akibat melecur itu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu di HKN.

Mohd Zahiruddin turut membuat laporan kejadian di Balai Polis Kuala Nerang malam tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.