Enam Insentif Bukti Kesungguhan Kerajaan Bela Nasib Peneroka

PENDANG – Enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuktikan kesungguhan kerajaan membela nasib golongan itu bagi meringankan beban menghadapi kos sara hidup.

Ketua Peneroka Felda Sungai Tiang dekat sini Che Hat Abdullah berkata sebagai peneroka generasi kedua di tanah rancangan itu, dia sangat bersyukur dengan pemberian insentif itu kerana ia sangat bermanfaat kepada peneroka antaranya dari segi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

“Apa yang saya boleh katakan, saya menganggap insentif ini satu berita gembira sebab boleh meringankan beban kami sebagai peneroka Felda. Jadi, saya mengharapkan kerajaan dapat melaksanakan kesemua enam insentif ini seperti dijanjikan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Felda itu hari ini.

Che Hat berkata selain itu pengumuman insentif berkenaan juga boleh menjadi medium penyatuan semula peneroka Felda untuk bersama-sama membangunkan Felda dengan lebih teratur dan kemas lagi sehingga gah di mata masyarakat dunia.

Sementara itu, Pengerusi Biro Masyarakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Sungai Tiang Zamberi Othman yang juga generasi kedua menganggap pemberian insentif itu sebagai satu cenderahati dan bonus kepada peneroka Felda di seluruh negara. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.