Pandikar Sindir Ahli Parlimen Failkan Saman

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin secara sinis mengingatkan anggota Dewan Rakyat supaya tidak membangkitkan peraturan mesyuarat ketika persidangan sedang berlangsung.

Ini kerana katanya beliau sudah dirujuk ke mahkamah pada sebelah pagi apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadapnya dan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Hee Loy mengemukakan saman itu kerana tidak berpuas hati apabila dua soalannya berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat ditolak.

Pandikar sebaik mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat pada sesi sebelah petang berkata, beliau berharap tidak ada mana-mana Yang Berhormat membangkitkan perintah mesyuarat sehingga memaksanya membuat keputusan terhadap mereka.

“Sekarang ini, Speaker tidak boleh lagi buat keputusan (dalam dewan) sebab jika buat, akan diheret ke mahkamah,” katanya dalam nada sinis.

Pandikar berkata, perkembangan yang berlaku hari ini juga menunjukkan seolah-olah peruntukan Fasal 63(1) Perlembagaan Persekutuan tidak lagi bermakna.

Berdasarkan perlembagaan, fasal itu menjelaskan mengenai hak keistimewaan Parlimen yang antara lain menyatakan, kesalahan bagi apa-apa prosiding dalam mana-mana majlis Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.