Pelombong Bauksit ‘Langgar’ Moratorium

KUANTAN: Pelaksanaan moratorium terhadap perlombongan bauksit di negeri ini sejak 15 Januari 2016, dipercayai gagal menghentikan aktiviti itu yang kini disyaki berjalan secara haram.

Selepas lebih setahun moratorium perlombongan bauksit dikuatkuasakan, ada pengusaha lombong dipercayai meneruskan aktiviti itu dengan berselindung di sebalik alasan mengeluarkan simpanan bauksit sedia ada.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ketika moratorium dilaksanakan, simpanan bauksit adalah 5.4 juta tan, tetapi sehingga 8 Jun 2017, sejumlah 5.8 juta tan bauksit sudah dieksport melalui Pelabuhan Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

Perlombongan yang dipercayai masih berjalan menyaksikan lori dengan muatan bauksit beroperasi seperti biasa, melalui ladang kelapa sawit sekitar FELDA Bukit Goh, sebelum memasuki Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di antara laluan Jabor menghala ke susur keluar Plaza Tol Kuantan.

Tinjauan bekas kawasan pengumpulan bauksit yang sudah dibersihkan di sekitar Pelabuhan Kuantan.

Hasil maklumat awam, tinjauan BH selama seminggu, mendapati aktiviti lori memunggah bahan mineral berkenaan masih berjalan dan menggunakan khidmat sekumpulan tonto bagi melindungi kawasan perlombongan.

Seorang peniaga di kawasan Pasir Kemudi, Jalan Sungai Lembing-Kuantan yang enggan dikenali, mendakwa aktiviti memunggah bauksit tidak pernah berhenti, walaupun sejak kerajaan menguatkuasakan moratorium.

“Mana ada (berhenti), boleh dikatakan setiap hari ada lori yang keluar masuk membawa bauksit, cuma kini semua lori dibersihkan sebelum memasuki jalan raya. Saya tidak tahu lori itu bawa bauksit dari mana atau ke mana, saya tidak pernah tanya walaupun mereka selalu singgah di sini (kedai miliknya).

“Susah nak masuk ke sana (lombong bauksit), ada orang kawal, kena ada pikap (pacuan empat roda) sebab ia masuk ke dalam. Saya tidak mahu ambil tahu sangat, lagi pun saya berniaga di sini, nanti (perniagaan) saya juga yang susah,” katanya.

Usaha wartawan dan jurugambar BH meninjau lokasi lombong dan pusat simpanan sementara, termasuk melalui jalan pintas yang ditunjukkan penduduk kampung berhampiran, gagal kerana sering diekori sekumpulan lelaki.

Mereka yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda menghalau dan mengugut selain merakamkan gambar wartawan dan jurugambar BH sebelum memaksa supaya beredar dari lokasi dengan segera.

Difahamkan, hanya individu tertentu dibenarkan melepasi kawasan yang dikawal tonto, selain perlu menggunakan pacuan empat roda untuk sampai ke lombong dan tempat simpanan bauksit.

Berbeza dengan kawasan Bukit Goh, tinjauan terhadap lombong bauksit berhampiran penempatan penduduk Sungai Karang Darat dekat Beserah, di sini, mendapati ia sudah tidak beroperasi sepenuhnya sejak insiden tiga kanak-kanak maut di kolam takungan di situ pada Februari lalu.

Seorang penduduk di kawasan perumahan berdekatan, berkata semua jentera yang pernah beroperasi melombong bauksit di situ, sudah dibawa keluar selepas kejadian malang menimpa tiga kanak-kanak terbabit.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, mengakui pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai, masih ada lombong yang aktif melakukan aktiviti itu, selepas lebih setahun kerajaan memperkenalkan moratorium.

Beliau mendakwa, kegiatan memunggah bauksit yang masih berterusan di Pahang, berpunca daripada pelaksanaan moratorium secara terpilih sejak diperkenalkan 15 Januari tahun lalu.

“Susah nak atasi masalah ini, jika ada pihak tertentu terus melakukan kegiatan melombong atau mengangkut bauksit, sepatutnya apabila kerajaan perkenalkan moratorium, semua aktiviti berkaitan dihentikan.

“Ini tidak, ada pihak masih dibenarkan meneruskan aktiviti itu, ada yang dilarang. Kenapa ini boleh berlaku? Kalau nak laksanakan (moratorium), biarlah semua pihak patuh, barulah boleh selesaikan isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Shariffa Sabrina berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu mengambil tindakan tegas bagi meningkatkan keyakinan rakyat serta menunjukkan kesungguhan mengatasi sepenuhnya masalah itu.

Tiada perlombongan baharu: SUK Pahang

KUANTAN: Perlombongan bauksit secara haram adalah kegiatan yang dibimbangi berlaku oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sejak pelaksanaan moratorium dikuatkuasakan.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata berikutan itu, Badan Pemantauan Khas Moratorium ditubuhkan bagi melakukan pemantauan terhadap isu terbabit.

“Perkara ini (perlombongan bauksit secara haram) memang antara perkara yang kami bimbang akan berlaku apabila kita melaksanakan moratorium.

“Sebab itu kita tubuhkan Badan Pemantauan Khas ini yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad. Beliau sedang berada di luar negara, saya akan dapatkan maklumat lanjut apabila beliau kembali minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Justeru itu, Wan Junaidi enggan mengulas berhubung rekod kementerian itu bahawa stok simpanan bauksit di luar Pelabuhan Kuantan pada peringkat awal pelaksanaan moratorium pada 27 November 2015 adalah 5.4 juta tan tetapi sehingga 8 Jun 2017, sebanyak 5.8 juta tan mineral itu sudah dieksport.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, mendakwa penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian sentiasa memantau pergerakan lori yang memunggah bauksit bagi memastikan mereka tidak melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

“Jika ada (bukti) masih wujud aktiviti melombong secara haram, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri. Kita akan ambil tindakan terhadap pengusaha (lombong bauksit) yang ingkar dengan arahan (moratorium) yang diputuskan Kerajaan Pusat.

“Kita tahu ada di antara mereka (pengusaha lombong bauksit) yang mempunyai simpanan yang banyak, kita beri masa kepada mereka untuk membersihkan (mengangkut keluar) stok itu,” katanya kepada BH.

Muhammad Safian mendakwa, pergerakan lori mengangkut bahan mineral itu yang masih berjalan seperti biasa adalah proses membersihkan stok simpanan yang belum selesai sepenuhnya.

“Tiada perlombongan baharu, yang ada hanyalah proses membersihkan stok simpanan pada tapak lombong sebelum ini. Masih ada (stok simpanan bauksit) yang belum dipunggah ke Pelabuhan Kuantan dan usaha membersihkannya mengambil masa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan beberapa jentera berat di kawasan tertentu sudah disita selepas mendapati pengusahanya masih berdegil dan melakukan aktiviti melombong tanpa kebenaran.

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi terus memantau perkembangan ini.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dan melanggar arahan moratorium hingga menjejaskan alam sekitar di kawasan terbabit,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.