Dua Beradik Disyaki Didera Ditempatkan Di Rumah Jagaan

TAPAH – Dua beradik yang disyaki didera ibu jagaan mereka akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan memohon perintah mahkamah untuk perkara berkenaan.

“Selepas mereka dibenarkan keluar dari hospital, JKM akan memohon perintah mahkamah untuk menempatkan mereka di rumah jagaan kanak-kanak di Kuala Kangsar dan sekiranya ada yang ingin menjaga mereka, saringannya akan lebih ketat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan dua beradik berkenaan bukan merupakan anak angkat, tetapi mengikut perintah mahkamah mereka adalah anak jagaan atau pelihara.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Selama, DSP Loo Lian Lay dilapor sebagai berkata kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun itu disyaki didera oleh keluarga jagaannya di Sungai Bayor, Selama. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.