FIC: Peguam, Pembantu Direman

PUTRAJAYA: Seorang peguam dan pembantunya direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London antara 2013 hingga 2015.

Perintah reman bermula hari ini hingga 8 Ogos ini dikeluarkan Majistret Muhamad Safuan Azhar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Difahamkan, peguam berusia 44 tahun dan pembantu wanita berusia 29 tahun itu itu disyaki terbabit menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli hotel berkenaan.

Kedua-dua mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 4 petang semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9 pagi berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Sementara itu, perintah reman seorang bekas pegawai pengurusan kanan FIC berusia 46 tahun dilanjutkan empat hari bermula esok hingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan pembelian hotel sama.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan berkerusi roda, memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari.

Selain itu, tiga pengarah syarikat yang ditahan reman sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak pada 2014 dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.