Pewartaan Rabies Diteruskan Di Kuala Sepetang

IPOH – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak tidak bercadang menarik balik pewartaan kawalan penyakit rabies di kawasan Kuala Sepetang dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Dr Fuziah Muhayat berkata, proses penarikan balik warta mengenai kawalan penyakit rabies hanya akan dilaksanakan jika didapati tiada sebarang kes tempatan dikesan sama ada di dalam mana-mana spesis haiwan mahupun manusia selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Katanya,status keadaan penyakit ini akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang akan dijalankan.

“Namun sekiranya terdapat pengasingan Lyssa virus( penyebab penyakit rabies) pewartaan tersebut akan diteruskan sehingga keadaan sampel yang diambil adalah negatif sekurang-kurangnya dua tahun.

“Sehubungan itu, penarikan warta mengenai kawalan penyakit rabies  tidak digalakkan ditarik dalam masa yang terdekat memandangkan punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies ini terkandung didalam pewartaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Fuziah berkata, tindakan menarik semula pewartaan itu dalam tempoh terdekat juga bercanggah dengan Terrestrial Animal Health Code (OIE) yang mensyaratkan tempoh bebas adalah selepas dua tahun kes terakhir yang dilaporkan bersama semua syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi.

Katanya, kawasan Kuala Sepetang itu juga merupakan kawasan yang baharu dikenalpasti dan tempoh pengawasan serta kawalan mengambil masa yang lebih lama bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada ancaman rabies. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.