Suspek Bunuh 2 Pengawal Bertindak Seorang Diri

SHAH ALAM: Suspek yang menetak mati dua pengawal pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Selasa lalu melakukan jenayah itu seorang diri.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, hasil siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya mendapati tidak ada individu lain di pusat penyembelihan itu ketika kejadian berkenaan.

“Suspek juga bertindak melarikan kereta Satria Neo milik Syed Mohd Fazrul dan kita percaya wang gaji RM3,000 yang diterima mangsa pada 31 Julai lalu turut dilarikan suspek.

“Polis kini sedang giat memburu suspek termasuk dengan cara meneliti CCTV di setiap plaza tol bagi mengesan arah dia melarikan diri,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mazelan berkata, susulan penemuan mayat Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan bapa saudaranya, Wan Amir Abu Hassan, 48, polis turut menahan tiga warga Bangladesh yang bekerja di tempat sama.

Katanya, tangkapan itu dilakukan petang semalam dan kini pihaknya sedang mengambil keterangan mereka.

Semalam, kira-kira jam 1 tengah hari, mayat dua mangsa dengan kesan tetakan seluruh badan ditemui oleh pemilik pusat penyembelih ayam berkenaan.

Dipercayai, kedua mangsa dibunuh Selasa lalu berdasarkan keadaan fizikal mereka. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.