Wanita Maut Di Lebuhraya Pantai Timur (LPT)

MARAN: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 183, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mazlan Hassan berkata dalam kejadian pukul 8.50 pagi itu, mangsa Noorazuraini Razali, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mangsa yang memandu seorang diri dipercayai gagal mengawal keretanya lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tebing sehingga terbalik sebelum jatuh ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Satria Neo yang dipandu mangsa remuk teruk pada bahagian hadapan dan belakang.

Mazlan berkata mayat mangsa yang berasal dari Rompin dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.