Ibu Tergamam Dengar Berita Anak Maut

PASIR MAS: “Saya tergamam dan tidak boleh fikir sebaik dimaklumkan bahawa anak sudah pergi meninggalkan kami selama-lamanya akibat kemalangan,” kata Che Rohani Mohd Fathil, 58.

Ibu kepada Mohd Khairul Anam Mohd Shargawi, 26, yang maut bersama tiga warga Myanmar dalam kemalangan di Kampung Batu Karang, di sini, awal pagi tadi, berkata kejadian itu memang perit untuk diterima.

Katanya, dia sempat bertanya tujuan anak kesembilan daripada 12 adik beradik itu keluar daripada rumah kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Che Rohani Mohd Fathil, 58, menunjukkan gambar arwah anaknya, Mohd Khairul Anam Mohd Shargawi, 26, ketika menuntut jenazah anaknya yang maut dalam kemalangan bersama tiga warga asing dalam nahas di Kampung Batu Karang, Rantau Panjang, pada jam 4.15 pagi tadi di Hospital Pasir Mas. – Foto NSTP/Fathil Asri

“Disebabkan arwah beritahu ada urusan kerja, saya tidak memikirkan apa-apa yang curiga memandangkan sudah menjadi kebiasaan dia bekerja ambil upah di kampung tanpa mengira waktu.

“Namun, saya masih terkejut dengan kehilangan ini kerana arwah anak yang baik dan begitu disenangi ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas, di sini, sebentar tadi.

Che Rohani berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 5 pagi tadi selepas dimaklumkan anak bongsunya, Hakim Aiman, 18, sebelum terus bergegas ke hospital.

“Saya bersama suami dan anak bongsu terus bergegas di hospital untuk tunggu arwah, manakala anak yang lain ke lokasi kejadian,” katanya.

Dalam kemalangan jam 4.15 pagi tadi, kereta jenis Proton Waja yang dinaiki lima lelaki termasuk empat warga Myanmar dikatakan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.