‘Sanggup Tipu Disamun Elak Denda Hilang Mykad’

JOHOR BAHRU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, mencatatkan 100 kes berhubung laporan palsu termasuk bagi kes kehilangan Mykad sejak awal tahun hingga Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes dihadapkan ke mahkamah, selain 62 kes dalam siasatan dan enam kes masih dalam perbicaraan.

“Kebanyakan pengadu membuat laporan polis palsu mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, dipercayai bagi mengelak membayar denda akibat Mykad hilang.

“Apabila dibawa ke lokasi itu untuk menceritakan semula kejadian, barulah pengadu mengaku membuat laporan palsu hanya kerana mahu mengelak membayar denda RM300 akibat kehilangan Mykad,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes berhubung laporan palsu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan pegawai penyiasat bagi menyelidik secara terperinci terutama apabila menerima kes membabitkan kehilangan Mykad, sekali gus membendung tindakan berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian semata-mata ingin mengelakkan daripada dikenakan denda kehilangan Mykad,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.