Hans, Tunang Masih Lagi Bersama

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac, menegaskan dia masih lagi bersama tunangnya, Gabriella Robinson.

Hans, 45, berkata dirinya terkejut dengan berita beberapa portal melaporkan kononnya beliau dan Gabriella, 28, atau lebih mesra disapa Gabby putus ekoran tindakan wanita itu memadam gambar mereka bersama di Instagram.

“Saya terkejut apabila menerima banyak panggilan ‘missed call’ dan WhatsApp daripada media yang bertanyakan mengenai perkara ini. Kami masih lagi bersama,” katanya kepada BH Online.

Pasangan ini tiba-tiba menjadi bualan hangat netizen apabila pemenang Miss Tourism International 2011/12 berkenaan memadamkan gambarnya bersama bintang Lemak Kampung Santan itu.

Perkara itu turut membuatkan ramai yang tertanya-tanya, apakah pertunangan Hans dan Gabby sudah terlerai.

Pada 28 Februari lalu, Hans mengumumkan pertunangannya dengan Gabby dan mereka merancang untuk berkahwin pada 29 Julai tahun ini. Bagaimanapun, pasangan itu menunda tarikh perkahwinan mereka atas sebab-sebab tertentu.

Ditanya bilakah mereka akan berkahwin, Hans berkata, beliau merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita terbabit pada tahun depan.

“Sehingga kini belum ada tarikh yang ditentukan lagi. Tetapi ia (perkahwinan) akan berlangsung pada tahun depan. Memandangkan ia ditunda, kami mahu menikmati masa untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat,” ujarnya.

Sementara itu, Gabby menjelaskan, ada sebab beliau memadam gambarnya dengan Hans.

“Saya memutuskan untuk membuka akaun Instagram baharu, khas untuk keluarga dan teman rapat, manakala akaun sedia ada dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi perkara berkaitan kerja yang dilakukan.

“Saya mahu mengasingkan antara kerjaya dan kehidupan peribadi,” ujarnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.