Insentif Beri Manfaat Jangka Pendek, Panjang Kepada Peneroka

TAWAU – Para peneroka di Sabah bersyukur dan menerima sepenuhnya enam insentif untuk warga Felda yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Sahabat General Linjal berkata 1,647 peneroka meliputi kawasan Umas dan Sahabat menerima sepenuhnya insentif berkenaan tanpa sebarang persepsi negatif kerana ia adalah alternatif untuk menyenangkan rakyat.

“Perkara ini tidak sepatutnya dipolitikkan. Insentif berterusan kerajaan itu menunjukkan kerajaan masih berfikir tentang hal rakyat dan setiap keuntungan diperoleh akan dipulangkan kepada peneroka tanpa gagal, ” katanya kepada Bernama.

Semasa sambutan Hari Peneroka pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.